Selamat Datang ke Blog Science Info 365

Posting baru akan dimuat naik dari masa ke masa... Terimakasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Admin

Monday 23 November 2015

Suplemen Vitamin C bukan punca Kanser?




Oleh Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) 

Sinar Harian, 22 November 2015

SEORANG sahabat yang mengamalkan suplemen vitamin C jenama ‘S’ kini berhenti mengambilnya apabila membaca kenyataan seorang doktor dalam sebuah viral yang menyatakan suplemen vitamin C menyebabkan kanser.

Berikut ialah sebahagian isi viral yang diubahsuai mirip gaya bahasa penulisan dengan maksud asal dikekalkan. Catatan ringkas pada bahagian tertentu juga dilakukan sebagai penjelasan.

Selepas disahkan mengalami kanser darah, doktor hanya bertanya tiga soalan kepada pesakit. Pada soalan kedua pesakit disoal adakah beliau biasa makan vitamin C. Beliau mengaku memang suka makan vitamin C yang dijadikan amalan sejak remaja.

Berdasarkan jawapan pesakit, doktor tahu (?) faktor punca pembentukan kanser darah pesakit. Menurut doktor, vitamin C itu juga antara penyebab kanser kerana kandungan bahan kimia di dalamnya. Ramai yang tidak tahu kerana percaya (penulis: suplemen) vitamin mesti bermanfaat dan bagus! Hakikatnya ialah vitamin mengandungi berbagai bahan kimia.

Dalam artikel ini penulis hanya menyentuh keterangan doktor terhadap jawapan kepada soalan kedua iaitu suplemen vitamin C punca kanser.

Bendasing
Sebahagian besar suplemen vitamin C di pasaran merupakan asid askorbik yang digabungkan dengan pelbagai bahan kimia dan mengandungi bendasing pada paras tertentu. Sebenarnya terdapat tiga jenis suplemen vitamin C. Pertama dalam bentuk kristal halus gred farmasi (pharmaceutical grade) atau gred makanan. Vitamin C jenis ini amat sukar untuk diperolehi orang awam.

Suplemen jenis kedua ialah askorbik asid yang dgabungkan dengan beberapa jenis bahan kimia gred makanan misalnya asid stearik, magnesium stearate, hydroxypropyl methylcellulose (HPMC, dikenali juga sebagai hypromellose), selulos, kalsium karbonat dan silikon dioksida.

Suplemen jenis ketiga pula terdiri daripada gabungan asid askorbik dengan pelbagai bahan semula jadi kaya bioflavonoid dipercayai antara lain membantu meningkatkan kecekapan tubuh menyerap dan menggunakan asid askorbik. Bahan kaya bioflavonoid yang biasa digunakan termasuk camu-camu, acerola, amla (buah melaka), kulit buah sitrus dan pelbagai jenis beri.

Sesetengah pengeluar suplemen vitamin C jenis ketiga menambah bahan-bahan kimia gred makanan seperti seperti asid stearik, magnesium stearate atau HPMC bagi mendapatkan kesan khusus misalnya kesan melambatkan penyerapan. Kesan ini disebut perlepasan perlahan (slow release).

Dakwaan doktor dalam viral, kandungan bahan kimia lain dalam suplemen vitamin C seperti terdapat pada suplemen vitamin C jenis kedua adalah penyebab kanser agak sukar untuk diterima. Pertama, setiap pengeluar suplemen mengeluarkan produk mereka menggunakan kaedah amalan pengilangan baik (GMP: Good Manufacturing Practice). Status GMP biasanya hanya diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan sesebuah negara.

Kedua, kerana semua bahan yang digunakan sebagai bahan utama atau aditif dalam sesuatu suplemen tergolong dalam status GRAS (status generally regarded as safe oleh FDA).

Ketiga, bahan yang digunakan biasanya memenuhi kehendak piawaian tertentu iaitu tergolong dalam kategori gred makanan. Bahan kimia gred makanan mesti memenuhi syarat tertentu misalnya paras bendasing (impurity) harus berada pada paras minima yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Ia termasuk logam berat tertentu, bahan tindak balas (reactant) yang digunakan dalam proses pengeluaran atau produk sekunder (by product). Paras minima mesti memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh badan tertentu bagi memastikan ia selamat digunakan oleh orang ramai. Para pengeluar bertaraf antarabangsa biasanya memastikan mereka sentiasa menggunakan bahan kimia bermutu tinggi dengan bendasing pada nilai paling minima.

Penulis percaya pihak berkuasa kesihatan negara ini mengutamakan semua kriteria tersebut sebagai syarat kelulusan sesuatu produk suplemen sebelum dipasarkan.

Sintetik
Menyentuh mengenai kebimbangan sahabat penulis berkaitan keselamatan pengambilan vitamin C jenama ‘S’ (suplemen jenis ketiga dengan ciri perlepasan perlahan), pada pandangan penulis teruskanlah mengambilnya. Biokeperolehan (bioavailability) vitamin C adalah jauh lebih tinggi berbanding suplemen vitamin C jenis kedua kerana sokongan kandungan pelbagai bioflavonoid.

Menurut keterangan dalam sebuah laman sawang, suplemen  vitamin C jenama ‘S’ yang biasa diambil oleh sahabat penulis (suplemen vitamin C jenis ketiga dengan ciri perlepasan perlahan), suplemen ini mengandungi vitamin C diperbuat daripada kanji jagung digabung dengan pelbagai bioflavonoids dan sistem perlepasan perlahan.

Ramai orang memahami maksud derived from corn starch diekstrak daripada kanji jagung. Yang benar ialah vitamin C disintesis menggunakan kanji jagung. Paras vitamin C dalam kanji jagung amat rendah menyebabkan pengekstrakan tidak ekonomikal.

Struktur kimia vitamin C (asid L-askorbik) sintetik terbitan kanji jagung serupa dengan yang terdapat secara semula jadi.

Carian penulis di internet hanya menemui bahan digunakan untuk sistem perlepasan perlahan adalah sulit (proprietary). Bahan bersifat sulit ini berkemungkinan besar terdiri daripada beberapa bahan kimia seperti digunakan untuk suplemen vitamin C jenis kedua atau bahan kimia lain yang memiliki sifat  tersebut.

Sebahagian ubat-ubatan moden juga mengandungi sesetengah aditif yang penulis sebutkan kegunaannya dalam suplemen vitamin C jenis kedua. Ubatan gred farmasi jauh lebih murni (pure) kerana kandungan bendasing yang relatif jauh lebih rendah berbanding suplemen yang berasaskan bahan mentah gred makanan. Ia menjalani ujian klinikal untuk menguji keberkesanan dan keselamatan.

Faktor tersebut dipercayai menyebabkan mengapa ramai doktor perubatan moden ragu-ragu dengan keberkesanan dan keselamatan pelbagai suplemen gred makanan termasuk suplemen vitamin C.

Penulis percaya ramai yang keliru dengan maksud produk murni. Mereka menganggap kemurnian sesuatu bahan berada pada tahap 100 peratus. Realitinya tiada satu bahan pun yang memenuhi andaian tersebut.

Bagaimana penulis tahu semua ini? Untuk pengetahuan pembaca budiman, pada peringkat awal karier penulis pernah bekerja sebagai eksekutif sokongan teknikal dengan sebuah syarikat pengedar kimia industri terkemuka selama bertahun-tahun.

Artikel ini terbit dalam Sinar Harian kertas/atas talian pada Nov 22, 2015

www.scienceinfo365.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.