Selamat Datang ke Blog Science Info 365

Posting baru akan dimuat naik dari masa ke masa... Terimakasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Admin

Sunday 10 January 2016

Bimbang Keselamatan Nitrat dan Nitrit?




Oleh Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
Januari 9. 2016, Sinar Harian

DALAM TUBUH NITRAT DAN NITRIT DIBINA SECARA SEMULAJADI DARI NITRIK OKSIDA 
    Nitrit yang kadang-kadang digandingkan dengan nitrat merupakan pengawet yang biasa digunakan untuk mengawet daging lembu, hotdog burger, salami dan pastrami. Nitrit amat digeruni kerana ‘keburukannya’ yang dikatikan dengan pembentukan nitrosamine. Dalam tubuh nitrosamine dikatakan boleh menyebabkan DNA bermutasi dan berakhir dengan pembentukan sel-sel kanser.
       Untuk pengetahuan para pembaca budiman, apabila kita mengambil makanan mengandungi nitrat misalnya sayur-sayuran hijau, sebahagian nitrat diubah kepada nitrit apabila bercampur dengan air liur oleh bakteria yang terdapat dalam mulut. Dalam perut pula asid perut mengubah nitrit kepada nitrik oksida dan beberapa jenis sebatian nitrogen oksida.
     Dalam usus kecil, nitrat dan nitrit diserap masuk ke dalam peredaran darah. Nitrat diubah kepada nitrit dalam pelbagai sel termasuk endothelium. Dalam arteri, sel-sel endothelium mengubah nitrit kepada nitrik oksida dengan bantuan enzim nitric oxide synthase.
      Sayur-sayuran hijau dan umbisi (umbi) seperti ibu lobak bit merupakan sumber nitrat utama. Sayur-sayuran merupakan sumber nitrat dan nitrit yang tinggi berbanding dengan makanan mengandungi nitrit/nitrat sebagai pengawet. Ia kerana secara purata, lebih kurang 93 peratus nitrit dari makanan didapati dengan memakan sayur-sayuran.  
      Sehidangan daun roket (arugula), dua hidangan butter lettuce (sejenis daun salad) dan empat hidangan saderi (merujuk kepada saderi Eropah berpelepah besar dan  keras) dikatakan mengandungi nitrit 467 kali lebih banyak berbanding dengan nitrit terdapat dalam hotdog! Satu hidangan sayur-sayuran segar ialah 1 cawan.
Kandungan rendah
       Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (United States Department of Agriculture, USDA) hanya membenarkan penggunaan 120 bahagian persejuta (120 mg per kg) nitrit dalam hotdog dan dendeng babi (bacon).   Setiap kali nitrit ditambah ke dalam makanan berasaskan haiwan, sebahagian besar nitrit akan berubah kepada nitrik oksida yang akan bergabung dengan ion ferum (besi) yang menyebabkan hotdog dan daging kelihatan lebih segar. Hasilnya, jumlah nitrit yang tinggal hanya lebih kurang 10 bahagian per sejuta!
      Sayur-sayuran yang ditanam dalam rumah hijau dikatakan mengandungi kandungan nitrat 5-10 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan sayur-sayuran yang ditanam di tanah lapang. Sayur-sayuran organik (ditanam tanpa baja moden) dikatakan mengandungi nitrat yang tidak begitu tinggi berbanding dengan sayur-sayuran yang ditanam secara komersil dan menggunakan baja nitrat.
      Sesungguhnya sebahagian besar sumber nitrat/nitrit bukan berasal dari makanan tetapi dari tubuh manusia sendiri! Nitrit air liur sahaja meliputi 70-97 peratus jumlah sumber nitrit. Sebahagian besar nitrat dari tubuh dibuang melalui air kencing namun sehingga 25 peratus nitrat tubuh diserap oleh kelenjar liur dan membentuk nitrat air liur. Sehingga 20 peratus nitrat air liur diubah kepada nitrit. Sebahagian besar nitrit dibuang bersama-sama air kencing dalam masa 5 jam.
      Dalam usus, nitrit bertindak-balas dengan mikroflora (bakteria) usus yang menghasilkan nitrik oksida di mana hanya sejumlah kecil diserap ke dalam aliran darah. Nitrik oksida diserap dalam darah dikatakan dinyah keluar dari aliran darah dengan pantas – dengan purata separuh hayat (half-life) serendah 1-5 minit.
     Nitrik oksida tidak kekal lama kerana ia teroksida lalu menghasilkan nitrat dan nitrit. Perubahan kepada nitrat berlaku dalam pelbagai jenis sel termasuk macrophages, neutrophil, neuron dan sel hati. Selain dibuang melalui air kencing dan beberapa bendalir lain, kedua-dua nitrat dan nitrit dikitar semula menjadi nitrit, dan nitrik oksida.    
      Penerangan di atas memberi gambaran bahawa pengambilan makanan yang mengandungi nitrat/nitrit tidak begitu mempengaruhi jumlah nitrit dalam aliran darah. Yang berlaku dalam realiti ialah dengan pengambilan makanan berantioksidan (misalnya mengandungi bioflavonoid), herba adaptogen, makanan mengandungi nitrat/nitrit, arginine dan citrulline dipercayai meningkatkan nitrik oksida dan seterusnya membantu mencegah serangan jantung, merawat disfungsi ereksi atau mendapatkan ereksi zakar yang mantap.
      Secara umum, kajian-kajian sains menunjukkan bahawa nitrat dan nitrit tidak menyebabkan masalah kesihatan. Sebaliknya ia bermanfaat kepada kesihatan manusia dalam pelbagai bentuk termasuk nitrik oksida yang terbentuk dari nitrik oksida didapati memiliki sifat mengembangkan salur darah (vasodilator). Ia juga mengawal fungis platlet, mengawal tekanan darah dan menurunkan risiko serangan jantung.
     Nitrat antara lain didapati membantu meningkatkan kecekapan sistem imiun dan mencegah pembiakan bakteria jahat termasuk yang terdapat dalam usus.
    Semakan berbentuk kritikan terhadap penemuan asal yang mencadangkan bahawa nitrat/nitrit bersifat karsinogenik (memiliki sifat berpotensi menyebabkan kanser) menunjukkan bahawa tanpa kehadiran pengambilan prekursor nitrosamine, tiada bukti berlakunya karsinogenesis (pembentukan kanser). Sila semak laporan berjudul Risk Assessment in the Federal Government: Managing the Process Working Papers dalam bab: Nitrite terbitan The National Academies Press (1983).
    Kajian-kajian berbentuk prospektif terkini pula menunjukkan bahawa tiada kaitan antara pengambilan nitrat dan nitrit dari makanan dengan kanser perut. Sila semak kajian berjudul Ingestion of Nitrate and Nitrite and Risk of Stomach Cancer in the NIH-AARP Diet and Health Study terbitan jurnal Epidemiology (Jan 2011).
Usah bimbang
    Apakah kesimpulan dari perbincangan yang penulis ketengahkan dalam artikel ini? Pengguna tidak harus bimbang dengan nitrat dan nitrit yang terdapat dalam makanan. Yang kita perlu bimbang ialah bahan-bahan lain yang terdapat dalam makanan misalnya penggunaan antibiotik dalam pemeliharaan lembu dan ayam komersil.  
    Kita juga perlu berhati-hati dengan pengambilan daging lembu kerana ia sumber methionine yang boleh meningkatkan homocysteine darah, Peningkatan homocsyteine dikaitkan dengan pembentukan pelbagai penyakit degeneratif.  Daging panggang dan ayam digoreng secara terendam lama pula meningkatkan penghasilan polycylic aromatic hydrocarbon yang dikaitkan dengan kerosakan DNA dan pembentukan plak atherosclerosis.
Nota:   Kajian mendapati vitamin C dalam sayur-sayuran berupaya merencat pembentukan nitrosamine. Begitu juga dengan pelbagai jenis tannin, flavonol dan flavone. Lihat kajian berjudul Effect of Japanese Green Tea oh Nitrosamine Formation in Vitro (jurnal Food Science, 1981).     Bioflavonoid juga didapati merencat pembentukan nitrosamine berdasarkan kajian berjudul Investigation on relationship between flavonoid content and inhibitory ability to nitrosamine synthesis for eleven Chinese herbal medicines terbit dalam China Journal of Chinese Meteria Medica (2009). 

 www.scienceinfo365.blogspot.com

Friday 1 January 2016


Rahsia untuk Panjang Umur  (Gaya Hidup untuk Panjang Umur)

Tuesday 24 November 2015

Multivitamin: Selamat & berkesan?


Bahrain Samah, MD (AM) RH (AHG)

Diet dan nutrien wanita mengandung


Faktor makanan mempengaruhi tahap kesihatan ibu dan tumbesaran bayi. - Gambar hiasan
Bahrain Samah, MD (AM ), RH (AHG)

Monday 23 November 2015

Herba antibiotik mujarab & selamat


Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG)
Daun neem efektif redakan infeksi virus dan bakteria.