Selamat Datang ke Blog Science Info 365

Posting baru akan dimuat naik dari masa ke masa... Terimakasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Admin

Monday 23 November 2015

Makanan vegan punca fungsi otak merosot?






OTAK terletak paling atas jika dibandingkan dengan pelbagai organ lain dari segi penggunaan tenaga. Berat otak hanya 2 peratus daripada berat badan keseluruhan namun ia menggunakan 20 peratus tenaga.

Kepelbagaian nutrien atau gizi yang terdapat daripada makanan yang dimakan amat penting untuk keharmonian dan keseimbangan fungsi organ yang sensitif ini.

Sesetengah pengamal diet vegan dipercayai mudah mengalami kekurangan nutrien tertentu yang akan mengganggu kesihatan dan fisiologi otak kecuali mereka mengambil makanan yang sesuai termasuk suplemen.

Dalam artikel ini penulis akan bincangkan empat nutrien yang amat penting untuk otak yang hanya terdapat daripada makanan bersumberkan haiwan iaitu vitamin B12, creatine, carnosine dan asid docosahexanoic.

Vitamin B12 dikatakan tidak boleh dibina oleh tubuh dan hanya boleh didapati dengan memakan makanan sumber haiwan. Ia merupakan vitamin larut air membantu setiap sel membina DNA dan RNA. Ia juga membantu proses pembinaan darah dan fungsi otak.

Kekurangan vitamin B12 menyebabkan anemia, fungsi otak terganggu, gangguan mental dan saiz otak kecil. Terdapat kajian menunjukkan kekurangan vitamin B12 dikaitkan dengan penyakit Alzheimer iaitu punca utama dementia yang dialami di negara Barat.

Dementia ialah penyakit yang melibatkan gangguan keupayaan kognitif yang mengakibatkan kemerosotan daya ingatan, daya berfikir, daya merancang  dan daya kendiri.

Vegan lacto-ovo
Sebuah kajian menunjukkan 92 peratus vegan dan 47 peratus lacto-ovo vegan mengalami kekurangan vitamin ini. Lacto-ovo vegan ialah golongan vegan yang hanya memakan sayuran, bijiran, buah-buahan, telur dan susu tetapi langsung tidak memakan daging dan ikan.

Kekurangan vitamin B12 secara ketara dipercayai menyebabkan kerosakan kekal otak. Kekurangan yang tidak keterlaluan pula dikatakan akan menyebabkan gangguan memori, kemurungan dan lesu.

Bakteria spesies lactobacillus yang terdapat dalam usus besar dikatakan membantu membina vitamin B12. Lactobacillus juga didapati dalam susu yang menjalani fermentasi seperti tairu (susu masam yang biasa diminum dan digunakan oleh masyarakat India).

Yogurt iaitu dadih yang ditambah gula dan diperam juga kata dengan bakteria lactobacillus. Begitu juga minuman susu probiotik yang dijual oleh beberapa pengeluar.

Beberapa spesies cendawan dan rumpai laut terutama nori juga menawarkan vitamin B12. Sayur-sayuran yang diperam seperti kimchi (jeruk sayuran Korea) juga dikatakan membekalkan vitamin B12.

Tumbuh-tumbuhan seperti beberapa jenis kacang yang ditanam menggunakan baja tinja lembu dan tinja manusia dikatakan menunjukkan kehadiran vitamin B12 dalam kacang.

Namun begitu kajian menunjukkan pengambilan makanan tersebut masih tidak memenuhi keperluan vitamin B12 secara optimum. Daging, ikan dan telur menawarkan sumber vitamin B12 yang baik.

Walaupun sesetengah makanan yang diamalkan vegan mengandungi vitamin B12, ramai pakar pemakanan mencadangkan vegan agar mengambil suplemen vitamin B12 bagi mengatasi kekurangannya.

Suplemen creatine memang terkenal dalam kalangan pembina badan dan pengunjung gimnasium kerana ia merupakan suplemen membantu membina otot yang paling popular. Kajian saintifik secara konsisten menunjukkan pengambilan suplemen creatine dapat membantu meningkatkan jumlah dan kekuatan otot.

Suplemen creatine
Otak terletak paling atas jika dibandingkan dengan pelbagai organ lain dari segi penggunaan tenaga. Berat otak hanya 2 peratus daripada berat badan keseluruhan namun ia menggunakan 20 peratus tenaga.

Fungsi utama creatine ialah ia membantu pembentukan simpanan tenaga (energy reserve) bagi membolehkan ia kitar ulang (recycle) ATP dalam sel-sel secara pantas. Jadi, makanan yang kaya creatine dipercayai dapat memenuhi keperluan otak yang menggunakan tenaga pada paras tinggi.

Pengambilan suplemen creatine membantu pembina tubuh dan pengunjung gimnasium kerana ia membantu menambah kekuatan dan tenaga tambahan ketika menjalankan pergerakan fizikal yang menggunakan tenaga tinggi pada masa singkat.

Creatine bukan sejenis nutrien perlu (essential nutrient) kerana ia dibina daripada asid amino dalam hati. Bagaimanapun, proses pembinaannya dikatakan tidak begitu cekap.

Lebih kurang 95 peratus creatine disimpan di dalam otot tulang (skeletal muscle). Ia juga terdapat pada kuantiti tinggi dalam otak. Sepertimana otak yang memerlukan tenaga untuk berfungsi, otak juga memerlukannya untuk menjalankan pelbagai fungsi.

Kajian menunjukkan vegan yang mengambil suplemen creatine mengalami prestasi kognitif yang lebih baik terutama dalam menghadapi tugasan kompleks. Subjek bukan vegan pula didapati tidak mengalami sebarang perbezaan.

Kesimpulan daripada kajian tersebut menunjukkan vegan mengalami kekurangan creatine yang memberi kesan buruk kepada fungsi otak mereka.

Selain otak, paras creatine didapati rendah dalam otot tulang vegan. Kajian menunjukkan supplemen creatine membantu meningkatkan prestasi atlet pada golongan tersebut. Daging, ikan dan telur menawarkan sumber creatine yang baik.

Selain vitamin B12 dan creatine, carnosine merupakan nutrien penting untuk otak. Penulis percaya ramai di kalangan pembaca yang baru pertama kali mendengar kewujudan nutrien ini. Carnosine hanya terdapat dalam tisu-tisu haiwan dan ia membawa maksud vegan mudah mengalami kekurangannya.

Halang glycation
Carnosine dibina daripada dua jenis asid amino dan didapati pada kuantiti tinggi dalam tisu otot dan otak. Sebagai antioksidan berkuasa, carnosine menghalang proses degeneratif berpunca daripada stres oksidatif. Ia juga menghalang glycation (penggabungan glukos dengan protein) dan menghalang pembentukan rangkai lintang (cross linking) protein.

Pesakit yang menghidap gangguan otak termasuk Parkinson dan Alzheimer didapati mengalami paras carnosine rendah secara signifikan.

Ramai saintis penyelidik berpendapat bahawa makanan bersumberkan haiwan dapat membantu memulihara otak dan tubuh daripada penuaan kerana ia mengandungi carnosine yang tinggi.

Omega 3 memang tidak asing lagi kerana sifat antioksidan, anti keradangan dan membantu keharmonian sistem imun.

Terdapat dua jenis omega 3 iaitu EPA (ecosapentanoic acid) dan DHA (docosahexanoic acid). DHA terdapat pada jumlah tinggi dalam otak.

Otak memerlukannya untuk proses pertumbuhan, proses pembelajaran dan memori. Ikan berlemak, minyak hati ikan kod merupakan sumber DHA yang baik produk tenusu dan telur.

Kepada yang ingin mencuba diet vegan perlu mengkaji mengenai buruk buruk baiknya dahulu. Vegan penuh (elak susu dan suplemen) yang terlalu memilih makanan dipercayai bawa risiko kepada pengamalnya.

Diet misalnya hanya amalkan makan epal hijau dan beberapa jenis bijirin sepanjang serta ayam atau daging seminggu sekali juga didapati memudaratkan pengamalnya (berlaku pada sahabat penulis).

Daging, susu dan ikan (daging segar dari lautan) disebutkan banyak kali dalam al-Quran yang dipercayai oleh ramai ulama sebagai isyarat ia penting kepada kesihatan manusia.


BAHRAIN SAMAH
Herbalis profesional bertaraf dunia. Juru runding dan pendidik nutrisi holistik. Buku: Kawal Berat Badan,V. Aromaterapi, Serangan Jantung, Diabetes Jenis 2. Rawatan Dengan Herba - Cegah Demam & Flu.


 http://scienceinfo365.blogspot.my/2015/11/makanan-vegan-punca-fungsi-otak-merosot.html

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.