Oleh Herbalis Bahrain Samah, MD (AM), RH (AHG) 

Sinar Harian, Mac 22, 2015

BEBERAPA kajian menunjukkan ibu mengandung yang mengalami stres mendedahkan bayi berisiko penyakit pada masa hadapan.

Kajian Prenatal Stress Alters Bacterial Colonization of the Gut in Infant Monkeys dalam Journal of Pediatric Gastroenterology & Nutrition (2004) mendapati stres ketika mengandung  mempengaruhi jenis bakteria penghuni usus bayi ketika dilahirkan nanti.

Dalam kajian tersebut, penyelidik menggunakan bayi monyet ketika berada dalam rahim (in utero). Sekumpulan ibu monyet dibiarkan tanpa gangguan.

Sekumpulan ibu monyet lain didedahkan dengan gangguan bunyi pada awal atau penghujung fasa mengandung. Penyelidik kajian mendapati perubahan besar pada ekosistem dalaman bayi yang dilahirkan oleh ibu monyet yang stres.

Kesimpulan berdasarkan kajian tersebut, stres tahap sederhana ketika mengandung boleh menyebabkan perubahan pada keseimbangan koloni bakteria baik dan jahat.

Lebih buruk lagi apabila bayi dilahirkan lebih mudah mengalami infeksi termasuk penyakit  melibatkan fungsi sistem imun yang tidak cekap. Kesan buruk stres berlaku secara beransur-ansur. Misalnya, stres menyebabkan beberapa komplikasi seperti keguguran, pre-eclampsia (tekanan darah tinggi kadang-kadang disertai edema dan kencing mengandungi protein), lahir tidak cukup bulan dan tidak cukup berat ketika kelahiran.

Pelbagai masalah

Stres yang dialami secara berulang-ulang ketika wanita mengandung mendedahkan bayi pada risiko penyakit termasuk asma, alahan makanan, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan obesiti.

Ia seperti dilaporkan dalam artikel berjudul Disrupted Prenatal Maternal Cortisol, Maternal Obesity, and Childhood Wheeze: Insights into Prenatal Programming yang diterbitkan oleh American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine (2013).

Keadaan yang dialami oleh bayi (dalam kandungan) ini dikenali sebagai pemprograman bayi (fetal programming) di mana kajian menunjukkan, stres yang dialami oleh si ibu mempengaruhinya.

Sila lihat artikel berjudul Molecular Mechanisms Underlying the Fetal Programming of Adult Disease yang diterbitkan oleh Journal of Cell Communication and Signaling (2012).

Pada pandangan penulis, stres terlibat dengan pemprograman bayi secara epigenetik di mana ia membuka atau menutup suis gen tertentu.

Kesan pembukaan/penutupan gen melibatkan kadar pengeluaran kimia pengisyaratan dalam tubuh termasuk faktor pertumbuhan (human growth factors), cytokines (terlibat dalam pengisyaratan bersifat keradangan) dan hormon (antara lain memberi kesan kepada metabolisme).

Sebuah kajian menunjukkan persekitaran yang amat tertekan akan memprogramkan fisiologi bayi secara kekal dan seterusnya membentuk penyakit pada masa hadapan.

Ini dilaporkan dalam artikel Mechanisms of Disease: Glucocorticoids, Their Placental Metabolism and Fetal ‘Programming’ of Adult Pathophysiology’diterbitkan dalam jurnal Nature Clinical Practice Endocrinology & Metabolism (2007).

Sesetengah stres amat teruk hingga menimbulkan trauma. Apabila ibu mengandung mengalami stres jenis ini terutama ketika trimester ketiga, biokimia bayi juga akan mengalami perubahan.

Misalnya, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami serangan Pusat Dagangan Dunia pada September 2001 didapati mengalami paras kortisol yang rendah seperti dialami oleh ibu mereka.

Penemuan tersebut dilaporkan dalam artikel Transgenerational Effects of Posttraumatic Stress Disorder in Babies of Mothers Exposed to the World Trade Center attacks during pregnancy seperti diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism (2005).

Paras kortisol rendah dikaitkan dengan Gangguan Stres Pasca Trauma (post-traumatic stress disorder) dan juga beberapa gangguan lain yang melibatkan sakit kronik (chronic pain) dan lesu kronik.

Kajian dilaporkan dalam artikel Minireview: stress-related psychiatric disorders with low cortisol levels: a metabolic hypothesis seperti diterbitkan dalam jurnal Endocrinology (2011) menunjukkan kesan paling buruk akibat kortisol rendah dilihat pada mereka yang terdedah pada trauma sejak peringkat awal alam kehidupan (bayi dan kanak-kanak).

Pada pandangan penulis kesan yang sama juga berlaku pada bayi masih berada dalam kandungan. Kajian Chronic stress induces mast cell–dependent bacterial adherence and initiates mucosal inflammation in rat intestine (2002) dalam jurnal Gastroenterology menunjukkan stres psikologi kronik boleh menyebabkan usus mengalami keradangan.

Kajian juga menunjukkan stres psikologi menimbulkan beberapa jenis gangguan atau penyakit dalam sistem penghadaman seperti sakit ulu hati, sembelit dan diarea. Ia dinyatakan dalam kajian yang dilaporkan dalam artikel berjudul Stress and the gut: pathophysiology, clinical consequences, diagnostic approach and treatment options dalam Journal Physiology and Pharmacology (2011).

Sindrom Usus Bocor

Kajian mendapati alahan makanan, tindak balas makanan, asma dan pelbagai simptom mempunyai kaitan dengan ‘sindrom usus bocor’ di mana antara puncanya dikaitkan dengan stres!

Beberapa kajian lain pula menunjukkan stres mengubah ekosistem dalaman usus lalu menyebabkan mikroflora (mikrobiota) tidak seimbang dan seterusnya menimbulkan pelbagai penyakit usus.

Sebuah kajian terkini pula menunjukkan wanita yang mengalami stres ketika mengandung mudah mendapat bayi dengan mikrobiota yang tidak seimbang (antara baik dan jahat) serta mudah untuk mengalami masalah usus dan tindak balas alahan. Masalah timbul pada kedua-dua fisiologi dan psikologi.

Kajian yang dimaksudkan dilaporkan dalam artikel berjudul Maternal Prenatal Stress is Associated with the Infant Intestinal Microbiota yang diterbitkan dalam jurnal Psychoneuroendocrinology (2015).

Saintis penyelidik kajian dipetik sebagai berkata bahawa penemuan daripada kajian mereka tidak semestinya menunjukkan terdapat kaitan berbentuk sebab (causal link) pada masalah fizikal dan kesihatan mental berpunca daripada gabungan mikrobiota tidak sihat yang terdapat pada bayi berpunca daripada ibu yang mengalami stres.

Doktor konvensional berbangsa Rusia, Dr Natasha Campbell yang menulis buku Gut and Psychology Sybndrome  telah lama mengenal pasti masalah penghadaman mempunyai kaitan jelas dengan gangguan mental seperti autisme, dyspraxia, dyslexia, ADHD, kemurungan dan schizophrenia!

Beliau yang berkhidmat di kliniknya sendiri, The Cambridge Nutririon Clinic juga amat berpengalaman menggunakan nutrisi dalam membantu memulihkan pesakit yang mengalami masalah tersebut.

Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)
Herbalis profesional bertaraf dunia, Juru runding dan pendidik nutrisi holistik.


Artikel ini terbit dalam Sinar Harian kertas/atas talian pada Mac 22, 2015

www.scienceinfo365.blogspot.com